Habib Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin Hasyim As-Saqqaf dilahirkan di kota Ghurfah, Hadramaut pada tahun 1298 H. Bondanya ialah seorang wanita solehah, Ruqayyah binti Muhammad Manqusy. Sebagaimana kebanyakan para Salaf Bani Alawi, semenjak kecil beliau mendapat pendidikan langsung dari ayahandanya. Selain beliau menuntut ilmu kepada ayahnya, beliau juga mengambil ilmu dari ulama-ulama besar zamannya, diantaranya: Habib 'Aidrus bin 'Umar al-Habsyi (pengarang ‘Iqdul Yawaaqit), Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi (shohibul Simthud Durar), Habib Ahmad bin Hasan al-Aththas, Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi (Mufti Syafi`i Haramain) dan Habib Muhammad bin Salim as-Sary dan Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor.
Dalam usia 40 tahun iaitu tahun 1338H, beliau berhijrah ke Indonesia. Mulanya beliau menetap di Surabaya sebelum berpindah ke kota santri Pasuruan. Habib Ja'far menghabiskan usianya untuk ibadah dan dakwah dengan bijaksana dan akhlak yang mulia. Beliau terkenal sebagai hafiz dan mufassir al-Quran yang hebat sehingga guru beliau, Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor memberikan gelar "al-Quran berjalan" bagi beliau, di mana sering tatkala bertemu dengan Habib Ja'far, gurunya tersebut akan berkata: "Ahlan bil Quran wa ahlan bi ahlil Quran". Bahkan gurunya tersebut sering menyerahkan tugas menjadi imam kepada beliau kerana dalam bacaannya amat elok menurut hukum tajwid serta penuh kekhusyukan. Kekhusyukan dan kehadiran hati beliau ini meliputi para makmum sehingga mereka turut merasa kenikmatan khusyuk dan hudhur. Habib 'Alwi bin 'Ali al-Habsyi pernah berkata: "Ketika mendengar bacaan Habib Ja'far, aku mengikuti pendapat yang mengatakan bahawa membaca al-Fatihah di belakang imam dalam shalat jahriyyah tidak wajib kerana hudhur yang kurasakan dari bacaannya." Sehingga dikatakan juga oleh yang lain bahawa: "Kalau Habib Ja'far membaca al-Quran, maka setiap huruf yang beliau ucapkan itu seakan-akan berbentuk."
Selain dakwah keliling, beliau membuka majlis ta'lim dan majlis rohah di Pasuruan dengan dihadiri oleh ramai santri yang terdiri dari kalangan para ulama. Antara ulama yang melazimi majlisnya ialah Kiyai Haji Abdul Hamid bin 'Abdullah bin 'Umar BaSyaiban dan Kiyai Mas Imam bin Thohir.
Habib Ja'far sangat teguh menjaga ajaran leluhurnya para salafush sholeh Bani 'Alawi yang mulia. Beliau beramal sesuai amal mereka dan berakhlak persis akhlak mereka. Beliau juga setekun para leluhurnya dalam melaksanakan amal-ibadah, selalu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan berbagai kesholehan. Antara wiridannya setiap hari ialah mengkhatamkan kitab suci al-Quran dan memperbanyakkan sholawat atas Junjungan s.a.w. Malamnya indah dihiasi qiyamul lail dan menyendiri di tempat khusus untuk bermunajat dan bertaqarrub.
Memuliakan Para Tetamunya
Beliau juga terkenal amat memuliakan para tetamunya, sehingga urusan melayani para tetamunya dijalankan sendiri oleh beliau. Beliau sendirilah yang menuangkan minuman buat si tamu dan beliau menolak jika ada orang lain yang hendak menggantikannya. Pernah satu ketika salah seorang tetamunya menyarankan agar beliau membiarkan orang lain untuk menuangkan minuman kepada para tetamunya dengan katanya: "Jangan engkau sendiri yang melakukannya." Beliau spontan menjawab: "Apakah di hari kiamat kelak, ketika Rasulullah s.a.w. memberi manusia minum dari telaga Kautsar dengan tangan baginda sendiri, kau akan berkata kepada beliau:"Jangan engkau sendiri yang melakukannya." .... Allahu ... Allah, mudah-mudahan kita dapat meneguk minuman telaga Kautsar dari tangan baginda yang mulia. Sungguh memuliakan tetamu itu sebahagian daripada keimanan, dan berhati-hatilah kita tatkala melayani para tetamu kita, jangan sampai kita menjadikan tetamu kita tersebut sebagai pelayan kita. Ingat sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami:
"Bodohlah orang yang menjadikan tetamunya sebagai khadam (yakni tetamu pula yang jadi sibuk melayan tuan rumah dan bukan sebaliknya)".
Tidak ada komentar:
Posting Komentar